JellyPages.com

Sabtu, 30 Mac 2013

Lukisan Minda...Keluarga Datang...

Assalamualaikum...

Terasa sangat penat tetapi cukup bahagia apabila mak,ayah dan kakak datang ke Tanjung Malim semata-mata ingin melawatku padahal minggu depan cuti pertengahan semester akan bermula.  Kami menjamu selera di Pizza Hut. Sementara menunggu hidangan, kami berbual mesra dan bertukar-tukar cerita. Namun mata saya tidak lepas memandang sekeliling restoran tersebut.

Saya begitu tertarik apabila melihat tiga kaum terbesar di Malaysia makan di situ, ada Melayu, Cina dan India. Semuanya sedang berbual sambil menikmati hidangan tengah hari di situ. Apabila saya amati bahasa yang mereka gunakan untuk berbual, saya agak terkejut kerana orang Cina dan India berbual-bual menggunakan bahasa Melayu. Walaupun berlaku juga percampuran bahasa yang digunakan namun saya bangga apabila bahasa Melayu menjadi bahasa mereka berkomunikasi.

Keluarga cina yang makan di hadapan saya begitu asyid berbual. Sepasang suami isteri dan 2 orang anak yang masih kecil. Mereka menegur anak mereka menggunakan bahasa Melayu seperti " Jangan nakal, duduk, makan, jangan lari-lari. Walaupun mempunyai pengaruh bahasa Cina tetapi baik bagi saya untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan anak-anak kecil. Apabila ibu bapa mengunakan bahasa Melayu, anak-anak juga turut terdidik dan terdedah dengan bahasa Melayu. 

Penggunaan bahasa Melayu dalam semua masyarakat di Malaysia dapat mengukuhkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Jangan malu untuk menggunakan bahasa Melayu walaupun bukan berbangsa Melayu. Bahasa dapat menyatukan kita semua tanpa salah faham dan mementingkan diri. 




Lukisan Minda...Lagu Peribahasa

Assalamualaikum...

Hari ini cikgu nak tunjukkan sesuatu. Sila beri perhatian. (Cikgu Azieha)

Begitulah kata-kata kawan saya yang bertindak sebagai guru untuk tugasan  Pengajaran Mikro Kedua untuk kemahiran Peneguhan. Hendak tahu apa yang cikgu ini gunakan sebagai bahan???

Klik pautan ini :
http://www.youtube.com/watch?feature=player_detailpage&v=5TMJFFlcUDM

Sudah tengok pautan di atas. Menarik bukan...

Tidak saya sangka terdapat lagu sedemikian dan boleh kita jadikan bahan pengajaran. Sesuatu yang berbeza menyebabkan pelajar akan tertarik dan memudahkan pengajaran. Setelah lagu ini dimainkan, pelajar bertindak aktif dalam menjawab semua soalan guru dan menyebabkan interaksi pelajar dan guru berjalan lancar. Proses pemahaman pengajaran pada hari tersebut berjaya disampaikan dan menimbulkan sifat ingin tahu pelajar. Oleh demikian, saya berpendapat bahawa penggunaan bahan yang berbeza dan menarik akan menyebabkan pelajar mudah belajar dan berlakunya interaksi dua hala atau lebih dalam proses meneroka ilmu yang guru cuba sampaikan.

Lukisan Minda...Bahasa dan Jantina...

Assalamualaikum

Perempuan : Saya lapar la...
Lelaki : pergi la makan...kenapa bagi tau saya pulak..bukan boleh kenyang pun.
Perempuan : Jom la temankan saya.
Lelaki : Saya ada keja la.

Perbualan di atas tidak sengaja saya dengar semasa di perpustakaan. Pada pandangan saya mungkin mereka berkawan rapat. Saya rasa sesuai untuk kita lihat penggunaan bahasa di antara lelaki dan perempuan. Perempuan akan berkata-kata dengan intonasi yang lembut manakala lelaki lebih bersahaja dan kurang berintonasi. Selain itu, perbualan yang saya dengar juga menyebabkan saya beranggapan bahasa perempuan lebih berlapik atau lebih sopan manakala lelaki lebih berterus terang. Seperti situasi di atas, perempuan itu cuba mengajak lelaki tersebut makan bersama tetapi tidak diajak secara berterus terang. 

Oleh demikian, saya berpendapat jantina memberi pengaruh terhadap penggunaan bahasa kita. Lelaki kita lihat lebih kasar dalam penggunaan bahasanya manakala perempuan pula lebih menggunakan bahasa yang sopan dan lembut ketika berkomunikasi. Penggunaan bahasa sama ada lelaki atau perempuan akan berubah mengikut situasi. Lelaki yang kasar bahasanya selalunya sopan dan lembut bahasanya ketika berkomunikasi dengan ibu, bapa dan keluarganya. Perempuan juga akan menggunakan bahasa yang kedengaran kasar dan tegas apabila berkomunikasi dengan orang yang tidak disukainya atau ketika marah. Penggunaan bahasa ini boleh dikawal dan dibentuk tidak kira lelaki dan perempuan. Lumrah kehidupan, perempuan dilahirkan dengan sifat lemah lembutnya sehingga mempengaruhi bahasanya. 

Perasan atau tidak, perempuan cenderung menggunakan perkataan "maaf" dan "terima kasih". Saya lihat situasi ini ketika pelajar turun daripada bas, pelajar perempuan akan berterima kasih kepada pemandu bas tetapi pelajar lelaki kurang mengucapkan terima kasih. Benarkan Jantina mempengaruhi penggunaan bahasa seseorang???SAMA-SAMA KITA RENUNGKAN...

Lukisan Minda...Ajaran Guru...

Assalamualaikum...

Hari ini beberapa orang kawan melakukan mikro pengajaran yang kedua berdasarkan kemahiran yang telah ditetapkan. Hari ini kemahiran menyoal dan kemahiran peneguhan yang cuba ditonjolkan dalam pengajaran dalam kelas. Perhatikan perbualan di bawah :

Guru : Pada pendapat kamu semua, di antara perokok aktif dengan perokok pasif, yang mana yang lebih berpotensi untuk mendapat penyakit atau menerima kesan merokok?

Pelajar : Perokok pasif cikgu.

Guru : Mengapa kamu berpendapat sedemikian?

Pelajar : Kerana mereka lebih terdedah dengan asap rokok.

Pelajar : Saya rasa lebih baik merokok. Lebih Selamat.

Guru : Cikgu pun rasa begitu. Lebih baik merokok.

Demikianlah situasi yang berlaku di dalam kelas sebentar tadi. Pada pandangan saya, guru perlu menunjukan contoh yang baik dan memberi teladan yang sewajarnya. Keadaan seperti di atas seolah-olah guru mengajar pelajarnya untuk melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya. Bahasa yang cikgu gunakan merupakan cerminan kita sebagai cikgu yang bagaimana. Tanpa kita sedari, pelajar zaman sekarang semakin maju, kita perlu bersiap sedia menerima pelajar yang sedemikian. Kadang-kadang mereka menguji kita tanpa kita sedar.

Alasan yang cikgu ini berikan adalah ingin bergurau dan mewujudkan keadaan yang ceria. Tetapi bagi saya tidak kena pada tempatnya. Kita mendidik ke arah yang benar bukan untuk mainan. Apa sahaja yang keluar daripada mulut seorang guru itu merupakan didikan. Oleh demikian jagalah bahasa kita apabila kita mengajar. Jangan mengajar sesuatu yang bertentangan atau salah kerana pelajar akan mencontohinya. 



Khamis, 28 Mac 2013

Lukisan Minda...Guru Pendidikan Khas

Assalamualaikum...

Mesti tertanya-tanya mengapa saya memilih tajuk Guru Pendidikan Khas. Semasa membaca Majalah Mingguan Wanita, saya tertarik dengan artikel bertajuk "Haslina jadi mata-mata gelap untuk siasat anak murid". Artikel ini mengisahkan tentang ketabahan seorang guru dalam mendidik anak-anak yang kurang upaya dan mengalami masalah dalam pembelajaran. Kata-kata yang menarik untuk kita renungkan, iaitu:

"Kami mungkin mengelap air liur, membasuh air kencing dan besar pelajar tetapi kami bukan orang gaji. Kami mendidik murid untuk menjadikannya insan berdaya saing pada masa depan".

Kata-kata diatas membawa maksud yang mendalam sebagai seorang guru bagi pelajar yang kurang upaya. Pernahkah kita terfikir bagaimana golongan kurang upaya ini berinteraksi dengan masyarakat sekelilingnya? Mungkin orang kurang upaya penglihatan masih boleh berkata-kata, tetapi bagi yang tidak mampu melihat dan bercakap serta tidak mampu medengar, bagaimana mereka berkomunikasi dalam masyarakat? Mungkin dalam kalangan keluarga mereka sahaja yang faham akan komunikasi mereka tetapi bagi masyarakat sekeliling, sukar untuk kita berinteraksi dengan golongan ini tanpa pengetahuan atau pengalaman bersama golongan ini. 

Melalui majalah ini, Cikgu Haslina mendidik anak muridnya untuk berdikari. Beliau membawa anak murid beliau ke pasar raya untuk mengajar mereka berdikari membeli barangan keperluan. Saya amat tertarik. Kesempatan ini kita boleh gunakan untuk mendekati golongan ini dan cuba berkomunikasi dengan mereka. Pertama kali memang sukar tetapi sekiranya kita sering berkomunikasi dengan golongan ini nescaya tiada lagi isu golongan ini dipinggirkan.

Bahasa isyarat, gerak bibir dan sebagainya sering digunakan bagi berkomunikasi dengan golongan kurang upaya ini. Terdapat juga golongan kurang upaya ini yang mampu berkomunikasi dengan baik tetapi dipinggirkan kerana keadaan fizikal yang tidak sempurna dan sebagainya. Kita boleh membantu golongan ini agar mampu hidup bersama-sama masyarakat. Bahasa atau cara mereka berkomunikasi jangan menjadi penyebab atau halangan untuk kita berinteraksi dengan golongan kurang upaya. Saepatutnya kita memahami kekuragan mereka dan menerima seadanya.


Jumaat, 22 Mac 2013

Lukisan Minda...Bahasa Ibunda...

Assalamualaikum...

Bahasa ibunda...Saya tidak sengaja terdengar perbualan antara dua orang pelajar UPSI yang saya rasa semester 8. Mereka berbual tentang projek tahun akhir yang perlu mengikut rentak penyelia masing-masing. Mereka berdua mendapat penyelia yang berbeza dan berkongsi cerita tentang kelebihan dan kekurangan penyelia masing-masing. Program apa tidak saya ketahui. tiba-tiba saya terdengar seorang daripada mereka menyebut tentang bahasa ibunda. Dia berkata pensyarah yang menyelia dia amat mementingkan bahasa Inggeris yang dianggap sebagai bahasa ibunda. Malah, pensyarah dia juga memberi contoh jurnal dan tesis-tesis dari luar negara untuk projek tahun akhir yang dia lakukan. Dia mengadu kepada kawannya tentang tugas menjadi berat untuk memahami dan menterjemah bahasa inggeris yang bukan seperti Inggeris di sini ke dalam bahasa Melayu. Dia amat menekankan bahawa pensyarah dia mengutamakan bahasa Inggeris dan menganggapnya sebagai bahasa ibunda. Dia turut menyebut nama pensyarah terbabit yang berbangsa Melayu.

Saya terkejut. Pensyarahnya berbangsa Melayu tetapi mengatakan bahawa bahasa Inggeris sebagai bahasa Ibundanya. Bukankah bahasa Ibunda merupakan bahasa pertama yang kita pelajari. Mungkin pensyarah tersebut membesar dengan mempelajari bahasa Inggeris dahulu sebelum bahasa Melayu atau beliau membesar di luar negara menyebabkan bahasa pertama beliau merupakan bahasa Inggeris. Saya cuba berfikiran positif.

Lazimnya, kita akan menggunakan bahasa Ibunda ataupun bahasa kedua dalam perantaraan. Bahasa Ibunda kita perolehi sejak lahir manakala bahasa kedua kita perolehi melalui pembelajaran. Pensyarah tersebut mungkin menerima bahasa Inggeris sejak lahir manakala bahasa Melayu sebagai bahasa keduanya atau sebaliknya. Saya agak terkilan sebenarnya mendengar perbualan dua orang pelajar tersebut. Sekiranya pensyarah tersebut amat menitik beratkan bahasa Inggeris terhadap pelajarnya, bagaimana nasib bahasa Melayu nanti. Saya rasa bahasa Melayu juga hebat dan setanding dengan bahasa Inggeris. Seharusnya kita berbangga dan sama-sama mendaulatkan bahasa Melayu. Kedudukan bahasa Melayu akan kukuh dan terpelihara sekiranya semua rakyat bersatu untuk menjaga dan menggunakan bahasa Melayu dengan betul agar tidak luput ditelan zaman.



Lukisan Minda...Kesetiaan

Assalamualaikum...

SETIA TIDAK BERMAKNA BENCI

Ayat di atas mencetuskan pelbagai pendapat dan pandangan. Setia amat dekat dengan perasaan cinta. Bila berbicara tentang cinta pasti setia yang diharapkan. Bila setia kita tidak akan membenci. Tetapi pernah atau tidak kita memikirkan kesetiaan itu dalam konteks bahasa. Setiakah kita terhadap bahasa kita sendiri atau sebaliknya? 

Kesetiaan akan teruji dengan kehadiran sesuatu yang lebih baik. Perasaan akan mula tergugat dan bertimbal balik. Begitu juga dengan bahasa. Sebenarnya tidak salah kita menguasai dan mengetahui lebih daripada satu bahasa. Kita seharusnya bijak menggunakan bahasa mengikut keperluan dan persekitaran. Kesetiaan terhadap bahasa perlu sesuai dengan keadaan keliling kita. Jangan terlalu setia kita tidak ingin menggunakan bahasa lain. Masalah komunikasi akan berlaku sekiranya orang lain tidak memahami bahasa yang kita gunakan. Contohnya, kita berada di Amerika Syarikat, oleh kerana terlalu setia terhadap bahasa Melayu kita tidak mahu menggunakan bahasa lain ketika di sana. Fikirkan apa akan terjadi? Bagaimana kita hendak berurusan sekiranya bahasa kita tidak difahami oleh masyarakat di sana? Oleh demikian, kita perlu bijak dalam berkomunikasi.

Sebenarnya mengetahui dan menguasai lebih daripada satu bahasa juga mempunyai kesan negatif juga terhadap bahasa Melayu. Kita akan menggunakan pelbagai bahasa dalam komunikasi secara tidak sengaja. Kita akan campur-campur bahasa yang kita tahu dalam lisan dan tulisan. Hal ini akan menimbulkan kesan buruk terhadap bahasa Melayu. Berlakunya bahasa rojak yang menggugat keutuhan bahasa Melayu.

Setia terhadap bahasa tidak bermakna kita tidak boleh menggunakan bahasa lain tetapi mengikut situasi. Kesetian terhadap bahasa akan terjamin sekiranya kita memelihara kedudukan bahasa berkenaan supaya tidak tersisih dan dilupakan. Kita perlulah mempunyai rasa 'kepunyaan bersama' agar kedudukan bahasa kita terjamin dan terpelihara. Jangan kita hanya mengharapkan orang lain sahaja untuk memelihara dan menjaga bahasa kita. Kita seharusnya bersama-sama dan berganding bahu untuk memelihara kedudukan bahasa kita. Kita hendaklah menggunakan bahasa kita dengan betul dan baik supaya menjadi ikutan generasi muda dan setanding dengan bahasa-bahasa yang lain. Kita hendaklah bangga menggunakan bahasa kita. 







Rabu, 20 Mac 2013

Lukisan Minda...Jadikan Teladan...

Assalamualaikum...

3 campur 1 = Satu...sebenarnya itu merupakan tajuk sebuah novel terbitan Jemari Seni Publishing dan merupakan hasil karya Ana Farhana. Saya ingin berkongsi tentang nilai yang terdapat dalam novel ini. kita boleh jadikan contoh tentang budi bahasa budaya kita. Perhatikan petikan novel di bawah :

"Assalamualaikum...ucap Hakimi sopan. Diletakkan tangannya di atas kaunter, cuba untuk mengawal darah gemuruh yang tiba-tiba datang bertandang dalam dada tanpa bagi salam. Khairina mendongak. Senyuman kecil terukir di bibirnya. Amboi...sopannya lelaki depan dia ni!Siap bagi salam lagi. Bagus, bagus, ini namanya ada budi bahasa. Wa'alaikumsalam...balas Khairina lembut. Kerja sebagai petugas kaunter, memang kena berhadapan dengan macam-macam ragam. Walau mulut dah penat nak mengorak senyuman, tetapi kena senyum juga. Peragai yang buruk kena diketepikan sekejap. Sikap profesional kena ditunjukkan. Barulah dinamakan tak makan gaji buta walaupun hakikatnya masa buat kerja dia tidak pernah tidur. Leka sekejap adalah.Err..saya nak beli wang pos. Seringgit, tiga, lima ringgit, tiga, lima puluh, tiga, seratus, tiga, Encik, Khairina meletakkan wang pos atas meja dan menyatakan bayaran. Terima kasih, ucap Hakimi ketika semuanya telah selesai. Khairina senyum lagi sebagai membalas ucapan terima kasih Hakimi. Kalau tak senyum nanti dituduhnya sombong. Lagipun senyum itu sedekah. Awak nampak manis kalau tersenyum, jadi senyum-senyumlah selalu. Puji Hakimi.

Apa pendapat anda???Manis sangat kan. Pernahkah anda mendapat perkhidmatan sebegitu ketika berurusan di mana-mana sahaja kaunter? Tugas sebagai penjaga kaunter bukan mudah dengan pelbagai ragam manusia. Situasi di atas sesuai kita contohi. Menggunakan bahasa yang sopan ketika hendak berurusan dengan senyuman pasti kita akan dilayan dengan baik juga. Walaupun kadang-kadang terdapat juga penjaga kaunter yang terlepas laku dan tidak kita senangi namun jangan kita bertindak seperti dia juga. Bersabarlah kerana mungkin dia tidak sengaja. Novel ini mempunyai banyak contoh yang baik untuk kita jadikan teladan Sebenarnya novel boleh dijadikan satu medium untuk kita menyampaikan nasihat dan pengajaran terutama kepada golongan belia dan remaja kerana golongan ini akan mudah didekati dengan penggunaan novel. Kebanyakan golongan belia dan remaja amat meminati novel. Kempen budi bahasa budaya kita juga dapat diselitkan dalam penulisan novel khususnya untuk mendekati golongan ini seperti dalam novel ini. 




Selasa, 19 Mac 2013

Lukisan Minda...Layanan

Assalamualaikum...

Dik...tumpang tanya. Baju ini ada saiz M tak?
Cari la kat situ. Kalu ada, ada la,kalu  tak da abis dah kot...(dengan muka garang)

Terkejut rasanya. Saya tegur dengan cara baik tetapi dibalas sedemikian rupa. Salahkah saya bertanya, selaku pekerja layanlah pelanggan dengan baik. Sekurang-kurangnya jawab dengan baik, tidak perlu marah-marah. Saya rasa malu dengan layanan yang diberikan. Apatah lagi orang lain turut melihat. Tebal kulit muka rasanya.

Kejadian ini menyebabkan saya bertindak meninggalkan kedai terbabit. Mungkin ini kali terakhir saya ke kedai tersebut. Melihat layanan yang sebegitu menyebabkan saya serik untuk berkunjung ke situ lagi. Pengalaman pertama dilayan sebegitu menyebabkan saya serik. Saya tertanya-tanya dimanakah budi bahasanya?Sayakah yang bersalah?

Sepatutnya sebagai pelanggan saya mempunyai hak untuk bertanya barangan yang saya hendak beli. Sebagai pekerja atau jurujual, dia sepatutnya melayan pelanggannya dengan baik. Walaupun mempunyai masalah atau sudah penat bekerja seharian, dia tidak sepatutnya bertindak sedemikian. Secara tidak langsung pelanggan akan berkecil hati dan tidak akan berkunjung ke situ lagi apabila mendapat layanan yang tidak menyenangkan.

Sebagai pelanggan, saya mengharapkan layanan yang sebaiknya. Senyumlah ketika berinteraksi dengan pelanggan. Jangan berat untuk menghulurkan bantuan kepada pelanggan yang memerlukan pertolongan. Saya tidak meminta layanan yang istimewa, cukuplah sekadar senyuman dan berbudi bahasa ketika berinterasi. Berbudi bahasa tidak merugikan kita malah menguntungkan kita. Pelanggan akan berasa dihargai dan selesa untuk berurusan. Fikir-fikirkanlah...


 

Lukisan Minda...Bahasa SMS

Assalamualaikum....

Hari ini saya terbaca wacana tentang bahasa SMS yang dikatakan merosakan bahasa. Apa pendapat semua???

Saya rasa penggunaan bahasa SMS semakin hari semakin mempengaruhi cara seseorang itu menulis secara formal. Sekiranya penggunaan bahasa singkatan ini hanya digunakan dalam SMS tidak mengapa bagi saya namun kini telah mula mempengaruhi penulisan kita dalam seharian khususnya pelajar. Pelajar zaman IT kini lebih cenderung untuk menulis seperti dalam SMS apabila membuat karangan khususnya. Mereka seakan-akan tidak sedar menulis perkataan secara pendek kerana terbiasa dengan SMS. Malah, terdapat perkataaan yang dieja mengikut SMS. Contohnya ; bila-bile, kamu-ko, siapa-saper, pergi-gi dan sebagainya.  Kebiasaan ini menyebabkan pelajar akan menulis bahasa SMS dalam subjek Bahasa Melayu khususnya. 

Sebagai bakal guru, kita hendaklah bersedia dengan keadaan semasa. Sebelum kita mendidik pelajar tentang penggunaan bahasa Melayu yang betul kita seharusnya mendidik diri kita dahulu. Sebagai Guru Bahasa Melayu kita hendaklah melatih diri kita agar kurang menggunakan bahasa SMS dalam komunikasi lisan dan tulisan. Secara tidak langsung, pelajar akan terpengaruh dengan gaya penulisan kita nanti.

Sabtu, 16 Mac 2013

Lukisan Minda...SEMAKIN DILUPAKAN

Assalamualaikum...

Saya suka melihat keluarga yang masih menggunakan gelaran mengikut kedudukan dalm keluarga. Penggunaan gelaran atau pangkat dalam keluarga kian dipinggirkan. Warisan ini seakan-akan luput ditelan zaman. Contoh masyarakat Kedah yang mempunyai gelaran dan pangkat tersendiri dalam keluarga seperti berikut :

Nyang + Tok Nek 
Tok Wan + Tok
Pak Long + Mak Long
Pak Ngah + Mak Ngah
Pak Lang + Mak Lang
Pak Jang + Mak Jang
Pak Ndak + Mak Ndak
Pak Tam + Mak Tam
Pak Teh + Mak Teh
Pak Cik + Mak Cik
Pak Su + Mak Su
Along,Angah,Alang,Anjang, Andak, Atam, Ateh, Achik, Acu

Penggunaan kata sapaan seperti di atas sudah jarang diamalkan. Sebenarnya, sapaan seperti ini mewujudkan kesopanan dalam berkomunikasi. Selain itu, kata sapaan ini juga menyebabkan lahirnya perasaan hormat-menghormati antara satu sama lain. Hubungan kekeluargaan juga dapat dilihat menjadi mudah mesra dan memudahkan komunikasi.  Kita seharusnya mengekalkan warisan ini kerana mendidik kita untuk menghormai orang yang lebih tua dalam kita berbahasa. Penggunaan kata sapaan keluarga ini juga mengeratkan silaturahim dan saling bertolak ansur.  


Lukisan Minda...Penulis dan Gaya Bahasa

Assalamualaikum....

Hari ini Kelas Keterampilan Penulis mendedahkan tentang setiap penulis menggunakan gaya bahasa yang berbeza bagi menjadikan identiti seseorang penulis. Identiti seseorang penulis dapat kita kesan melalui penulisan beliau. Oleh demikian, walaupun tanpa menggunakan lisan sebenarnya identiti dapat dibaca melalui tulisan juga. Contohnya penulisan Sahahnon Ahmad yang banyak berlatar belakangkan masyarakat Kedah. Oleh sebab itu, kita dapat lihat Shahnon Ahmad menggunakan gaya bahasa bersesuaian dengan tempat kelahirannya sehingga pembaca dapat meneka hasil penulisan tersebut merupakan karya beliau apabila melihat gaya bahasa dalam penulisannya. 

Kita seharusnya sedar bahawa setiap individu mempunyai penggunaan gaya bahasa yang berbeza sama ada secara lisan atau tulisan. Penggunaan gaya bahasa juga mengikut sesebuah kelompok masyarakat menyebabkan kadang-kala sukar difahami oleh kelompok masyarakat lain. Oleh demikian, kita seharusnya cuba menggunakan gaya bahasa yang dapat difahami oleh semua golongan sama ada dalam penulisan mahupun lisan untuk memudahkan komunikasi dan pertukaran maklumat. 



Khamis, 14 Mac 2013

Lukisan Minda...Bahasa Tubuh

Assalamualaikum...

Kuliah saya hari ini hanya dua jam sahaja. Kelas Sosiolinguistik Melayu yang terpaksa dijalankan di Dewan Kuliah C. DKC cukup besar bagi pelajar yang hanya 14 orang sahaja dan amat sejuk. Kuliah hari ini banyak mendedahkan tentang bahasa tubuh yang mempengaruhi persepsi orang lain terhadap kita tanpa kita sedari.

Dr. Siti Saniah telah memberi kami peluang menonton video tentang tips-tips untuk menghadiri temuduga kerja yang menunjukkan penggunaan bahasa tubuh. Tips-tips tersebut juga boleh digunakan untuk perkara lain terutama dalam berinterasi dengan seseorang yang baru kita hendak kenali.

Bagi saya, penggunaan bahasa tubuh penting bagi menjelaskan lagi penerangan yang kita lakukan. Namun, bahasa tubuh dan bahasa yang kita gunakan haruslah seiringan dan tidak dibuat-buat. Selain itu, bahasa tubuh juga dapat menunjukkan kepada seseorang sama ada kita memberi perhatian atau tidak berminat dengan apa yang sedang diperkatakan. Kita hendaklah bijak mempamerkan bahasa tubuh supaya tidak menyinggung perasaan orang yang berinteraksi dengan kita.  Walaupun tidak mengeluarkan suara atau berbahasa, gerak tubuh kita dapat memainkan peranan sebagai alat komunikasi. Kita tidak perlu menyatakan 'YA' sahaja tetapi anggukkan kepala kita juga boleh mencerminkan bahawa kita bersetuju dengan apa yang diperkatakan. 

Bahasa yang kita ungkapkan tidak akan sempurna tanpa menggunakan bahasa tubuh untuk menyokong penjelasan kita. Sebagai bakal guru, kita seharusnya bijak menggunakan bahasa dan pergerakan tubuh yang seiring dalam penyampaian ilmu kepada anak murid kita.  Bahasa tubuh juga penting selain kita berkata-kata sahaja. Oleh itu, terpulang pada kita untuk menggunakan bahasa dan gerak tubuh kita yang betul dan seiring dengan apa yang diperkatakan. 

"Tidak ada mausia yang boleh menyimpan rahsia apabila bibirnya diam.
Ia akan berceloteh dengan hujung jarinya.
Rahsia tersemat dari seluruh liang-liang kulitnya."
Sigmund Freud




Rabu, 13 Mac 2013

Lukisan Minda...Sapaan..

Assalamualaikum...

Sekadar meluahkan rasa terkilan...
Hari ini saya mengalami suatu peristiwa yang bermakna untuk dikongsi bersama. Saya sedang asyid memilih barangan di salah sebuah kedai berhadapa dengan Pintu Timur UPSI. Saya terganggu apabila seseorang yang tidak saya kenali dengan tiba-tiba terus menerpa ke arah saya dan tanpa salam atau mukadimah yang sopan, dia terus meminta kepada saya barangan yang dikehendakinya. Saya bukan pekerja di situ, mungkin dia salah faham. Setelah saya menjelaskan kepada dia, tanpa sebarang kata dia terus berlalu. Di bawah adalah dialog antara saya dan dia :
Dia : Nak berus mengecat, nak 2...
Saya : Maaf dik, saya bukan pekerja di sini.

Sewajarnya dia menegur dengan cara yang berhemah. Gunakan kata sapaan yang ada seperti kakak, adik, cik dan sebagainya sebelum memulakan perbualan. Penggunaan kata sapaan mencerminkan personaliti dan budi bahasa seseorang. Tidak kira lah, muda atau tua, gunakan kata sapaan yang betul untuk menegur atau ketika berkomunikasi dengan seseorang sama ada kita kenal atau tidak.  Jangan malu untuk mengucapkan maaf sekiranya kita yang bersalah. Orang yang berbahasa dianggap sebagai orang yang sopan dan berbudi pekerti mulia. Penggunaan bahasa yang sopan dapat mengeratkan hubungan serta menjalinkan hubungan baru. Jangan malu untuk memulakan perbualan atau perkenalan dengan bahasa yang betul. 


Kain songket panjang sembilan,

     Panjang beserta kepalanya,

Tuan umpama permata intan,

     Saya menumpang cahayanya.

Isnin, 11 Mac 2013

Lukisan Minda...Budaya dan Bahasa

Assalamualaikum...

Terima kasih,
Thank you,
Chie chie,
Kamsia
rume nanre,

Di atas merupakan pelbagai bahasa yang boleh kita gunakan untuk menyatakan terima kasih kepada seseorang.Masih ramai yang susah untuk menyatakan teima kasih kepada seseorang. Kalau hendak disenaraikan mengikut etnik negara kita memang tidak tersenarai kerana kita mempunyai terlalu banyak etnik. Janganlah kita malu,ringan-ringankanlah mulut kita untuk mengucapkan terima kasih. Jangan kita mengira darjat, pangkat, kasta, umur dan agama untuk mengucapkan terima kasih. Sekiranya kita rasa perlu untuk mengucapkan terima kasih, ucaplah jangan malu atau berkira. Jadilah seperti pelajar UPSI yang mengamalkan budaya terima kasih ini, terutama ketika turun dari bas. 

Ucapan terima kasih akan anda dengar sewaktu hendak turun dari bas. Walaupun semasa menaiki bas, pelajar kelihatan kurang berdisiplin tetapi apabila hendak turun dari bas tidak terlepas ucapan terima kasih kepada pemandu bas. Seakan-akan telah menjadi budaya bagi pelajar UPSI untuk mengucapkan terima kasih kepada pemandu bas. Walaupun pelajar sudah terlewat untuk ke kelas kerana bas tiba lambat atau sebagainya, namun pelajar tetap menghargai pemandu bas yang telah membawa mereka ke destinasi di tuju dengan selamat. Terima kasih diucapkan oleh semua pelajar walaupun berbeza agama dan kaum. Pemandu bas pula seakan-akan gembira pabila menerima ucapan terima kasih daripada pelajar. Keadaan ini juga mewujudkan hubugan yang mesra dan saling hormat-menghormati antara manusia. Saya berharap keadaan ini berterusan.







Jumaat, 8 Mac 2013

Lukisan Minda...Hormatilah...

Assalamualaikum...


Wajarkah ketika pensyarah mengajar kita bercakap-cakap di belakang? Bukan berbicara tentang subjek yang diajar oleh pensyarah di hadapan tetapi sibuk dengan gosip kehidupan. Situasi inilah yang berlaku dalam kelas Keterampilan Penulis di bawah En. Ghazali Din sebentar tadi. Suara pelajar lebih kuat daripada suara pensyarah. Berbagai cerita yang saya dengar antaranya tentang fesyen, sasterawan negara, lagu dan sebagainya. Pensyarah terpaksa pula meminta pelajar diam dan sekali sekala mengeluarkan bunyi shy..shy..shy...untuk meredakan keadaan yang bising. Mereka hanya diam untuk sementara tetapi akan mula membuat bising semula. Saya faham kelas pukul 5 petang hingga 7 petang membuatkan perasaan ingin pulang dan berehat tambahan pula yang berkuliah sejak pagi namun sabarlah sebentar dan fokus tentang ilmu yang disampaikan. Jika tidak mahu mendengar kuliah yang disampaikan janganlah membuat bising dan mengganggu pelajar lain yang ingin memberi fokus tentang pelajaran hari ini. Saya tidak selesa dengan keadaan kelas yang bising. Apabila pensyarah memberi peluang untuk bercakap, mereka hanya mendiamkan diri tetapi apabila pensyarah bercakap, mereka akan mula bercakap.

Seharusnya, pelajar menghormati pensyarah yang sanggup bersusah payah datang mengajar. Jika diikutkan letih, pensyarah sebenarnya lagi letih bagi saya. Selain mengajar, mereka juga mempunyai komitmen lain. Hormatlah orang lain sekiranya kita ingin dihormati. Kita juga akan mengajar nanti, bagaimana perasaan kita nanti apabila pelajar kita melakukan perkara yang sedemikian. Semoga dapat menjadi iktibar dan pedoman...

Lukisan Minda... Induksi Set...

Assalamualaikum...
Kuliah hari ini merupakan kuliah saya yang satu-satunya bermula pada pukul 8.00 pagi. Penat semalam masih belum hilang ditambah pula dengan gementarnya diri saya ingin melaksanakan induksi set bagi kursus Pengajaran, Teknologi dan Penafsiran 2 di bawah En. Razali. Walaupun hanya lima minit setiap pelajar namun  kesannya cukup membuatkan saya tidak senang duduk. Walaupun giliran saya bukan hari ini tetapi saya tetap gementar sambil melihat rakan-rakan melaksanakan induksi set yang telah dirancang. 

Kuliah hari ini begitu ceria dengan pelbagai gelagat dan gaya persembahan yang ditunjukkan oleh rakan-rakan saya. Semuanya menunjukkan idea yang kreatif dan segar. Kami menjadi pelajar perlu berlakon mengikut umur pelajar yang dikehendaki oleh rakan yang membuat induksi set. Bermulalah lakonan kami menjadi pelajar tingkatan 1 hingga tingkatan 5. 

Teguran yang paling ketara adalah tentang penggunaan bahasa Melayu Baku dalam bilik darjah. Penggunaan bahasa yang betul penting bagi guru bahasa Melayu khususnya. Bahasa yang betul akan mencerminkan keperibadian guru tersebut. Sekiranya guru menggunakan bahasa yang betul dan akan menjadi contoh kepada pelajar. Bahasa yang tidak betul akan menyebabkan pelajar terikut-ikut dan terus menggunakan dalam kehidupan seharian. Malah, guru perlu bijak mengawal emosi dan tidak mengeluarkan kata-kata yang tidak sopan didengar apabila pelajar melakukan kesalahan. Guru juga sewajarnya menegur dan membimbing pelajar agar berbahasa menggunakan bahasa yang betul.   

Kuliah hari ini menyedarkan saya betapa besarnya peranan seorang guru untuk mendidik anak pelajarnya untuk menggunakan bahasa yang betul dan sopan.  Peranan guru juga mendidik sehingga terlahirnya pelajar mempunyai kesantunan berbahasa apabila bermasyarakat.Saya berharap mampu menjadi guru bahasa yang bertanggungjawab dan mampu menjadi guru yang terbaik. 

BAHASA JIWA BANGSA



Lukisan Minda...Terganggu

Assalamualaikum...
Terasa hari ini masa berlalu terlalu pantas. kesibukan kuliah dan tugasan yang semakin menghimpit membuatkan diri ini kepenatan. Keletihan terasa hilang apabila melihat telatah mahasiswa dan mahasiswi yang lain semasa menunggu bas untuk pulang.

Terhibur rasa hati apabila melihat kerenah pelajar UPSI yang gelisah menunggu bas. Pelbagai andaian yang mereka katakan tentang ketiadaan bas.Terdapat pelajar mula mengeluarkan kata-kata yang tidak elok didengar seperti bodoh, lembab, dan sebagainya. Terdetik di hati betapa rapuhnya kesabaran masyarakat sekarang. Kehendak diri yang diutamakan tidak kira muda atau tua. Keadaan menjadi kecoh apabila bas tiba. Saya ingat dengan bas yang baharu, pelajar UPSI akan lebih berdisiplin. Namun meleset sangkaan saya, berlaku perebutan untuk menaiki bas. Pelajar di dalam bas belum lagi habis turun yang menunggu terus naik menyebabkan pintu bas menjadi sempit dan mula tolak menolak antara satu sama lain. Pelajar lelaki tidak lagi segan silu menyelit antara pelajar perempuan malah tidak malu lagi untuk menghimpit serta menolak pelajar perempuan menyebabkan pelajar perempuan terpaksa mengalah dan memberi laluan kepada pelajar lelaki. Keadaaan yang kucar kacir sewaktu menaiki bas turut disertai dengan ungkapan-ungkapan yang kasar seperti celaka, biadap, gila dan sebagainya. Mereka tidak lagi menghiraukan tentang orang lain dan hanya mementingkan diri sendiri. Beginikah contoh seorang pendidik yang baik. Tepuk dada tanyalah selera...


Saya hanya memerhati sahaja, kepenatan membuatkan saya mengambil sikap menunggu sehingga semua pelajar naik dahulu. Alhamdulillah masih ada ruang untuk saya walaupun di atas tangga bas. Saya terfikir, sekiranya semua pelajar menaiki bas dengan berdisiplin nescaya tetap semuanya dapat naik. Seharusnya sebagai bakal pendidik, kita harus menjaga disiplin diri kerana akan menjadi contoh kepada pelajar suatu hari nanti. Semasa mengeluarkan sesuatu perkataan, fikirlah dahulu kerana kita akan menjadi contoh kepada masyarakat. Bahasa dan perilaku yang baik dapat menjadikan kita sebagai pendidik yang disegani oleh segenap masyarakat malah hubungan kita dengan masyarakat juga akan mudah terjalin.


Khamis, 7 Mac 2013

Lukisan Minda Kedua...

Assalamualaikum...
Peristiwa ini berlaku sebentar sahaja tadi di depan Kolej Zaba bersama rakan saya, Syazwani. Peristiwa ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada saya dan membuatkan saya terfikirkannya.

Malam ini diadakan Malam Interaksi antara Penasihat dan Ketua Jabatan bagi semua pelajar ISMP Bahasa Melayu. Saya dan Syazwani keluar awal kerana ingin menaiki bas pukul 10.30 tetapi malang, kami terlepas bas. Akhirnya kami telefon kereta sapu yang bernama Mak Yam. Mak Yam memberitahu suaminya menghantar orang ke Kolej Zaba jadi kami hanya perlu menunggu sahaja. Akibat lama menunggu kami akhirnya telefon semula Mak Yam untuk membatalkan hasrat kami tetapi tanpa salam atau sebarang kata Mak Yam terus meletakkan telefon. Beberapa minit kemudian saya menerima SMS lebih kurang seperti di bawah :
"sudah berjanji. Jangan meletakkan kepercayaan kepada orang dan menyusahkan orang pada malam-malam begini. Nilai diri sendiri"
Saya terkejut. Pada kebiasaannya pemandu kereta sapu atau teksi tidak sebegini apabila kami membatalkan untuk menggunakan khidmat mereka. Saya akui memang kami bersalah dan saya telah memohon maaf. Walaupun mereka lebih tua daripada kami tidak semestinya mereka boleh mengata kami sebegitu. Penggunaan bahasa yang sopan dan mesra boleh menyebabkan sebarang salah faham dapat diselesaikan. Kita seharusnya tahu adab kita apabila berhadapan dengan golongan yang lebih muda atau yang lebih tua dari kita. Tindakan kita juga mencerminkan siapa kita sebenarnya. Saya bukan segaja membatalkan begitu sahaja tetapi dia telah memarahi saya sedemikian. Hal ini juga menyebabkan saya tekad untuk tidak menggunakan perkhidmatan dia lagi. Fikirkanlah dan sama-sama kita renungkan...

Rabu, 6 Mac 2013

Lukisan Minda Pertama..

Assalamualaikum...
Peristiwa ini berlaku pada hari Selasa yang lalu ketika saya dalam perjalanan pulang ke Tanjung Malim dengan menaiki kereta api.  Semoga kita mendapat iktibar dan dijadikan pedoman.

Woi...bangun..pekak ka? suara itu mengganggu konsentrasi saya membaca. Terus terlihat di hadapan saya seorang pemuda sedang cuba mengejutkan seorang wanita tua yang uzur. Wanita itu tidak mendengari panggilan pemuda itu kerana sedang nyenyak tidur. Maklum lah jam sudah melebihi pukul 3.00 pagi. Keadaan dalam kereta api yang sejuk menambahkan lagi keselesaan untuk terus lena sebelum tiba ke lokasi yang dituju. Pemuda itu yang masih tidak berpuas hati mula mengeluarkan perkataan yang kurang enak didengar seperti pekak badak, tidur ka dah mampus dan bermacam-macam lagi dengan suara yang kuat dan kasar. Saya lihat pemuda itu bertindak menendang kerusi yang diduduki oleh wanita tua itu tanpa belas kasihan sehingga orang tua itu terjaga dari tidurnya dalam keadaaan yang amat terkejut. Wanita tua itu yang baru terjaga diherdik oleh pemuda itu kerana wanita itu tersalah tempat duduk. Saya yang tidak senang melihat kejadian itu akhirnya bangun dan membantu wanita tua itu untuk duduk di tempat yang sepatutnya. Saya tersentuh apabila wanita tua itu terus menerus mengucapkan terima kasih sehingga dia turun dari kereta api itu.

Sewajarnya pemuda itu duduk dahulu di tempat yang masih kosong atau mengejutkan wanita tua itu dengan cara yang sopan dan menghormati orang yang lebih tua. Terkilan rasa hati apabila tiada sesiapa cuba menghalang pemuda tersebut atau menasihatinya dan membantu wanita tua itu. Bahasa yang digunakan amat kasar dan tidak sesuai untuk menegur orang yang lebih tua. Bukankah bahasa yang baik dan sopan akan menjalinkan sebuah ikatan dan perhubungan yang mesra. Diharapkan pengalaman ini menjadi iktibar kepada semua.