Peristiwa ini berlaku pada hari Selasa yang lalu ketika saya dalam perjalanan pulang ke Tanjung Malim dengan menaiki kereta api. Semoga kita mendapat iktibar dan dijadikan pedoman.
Woi...bangun..pekak ka? suara itu mengganggu konsentrasi saya membaca. Terus terlihat di hadapan saya seorang pemuda sedang cuba mengejutkan seorang wanita tua yang uzur. Wanita itu tidak mendengari panggilan pemuda itu kerana sedang nyenyak tidur. Maklum lah jam sudah melebihi pukul 3.00 pagi. Keadaan dalam kereta api yang sejuk menambahkan lagi keselesaan untuk terus lena sebelum tiba ke lokasi yang dituju. Pemuda itu yang masih tidak berpuas hati mula mengeluarkan perkataan yang kurang enak didengar seperti pekak badak, tidur ka dah mampus dan bermacam-macam lagi dengan suara yang kuat dan kasar. Saya lihat pemuda itu bertindak menendang kerusi yang diduduki oleh wanita tua itu tanpa belas kasihan sehingga orang tua itu terjaga dari tidurnya dalam keadaaan yang amat terkejut. Wanita tua itu yang baru terjaga diherdik oleh pemuda itu kerana wanita itu tersalah tempat duduk. Saya yang tidak senang melihat kejadian itu akhirnya bangun dan membantu wanita tua itu untuk duduk di tempat yang sepatutnya. Saya tersentuh apabila wanita tua itu terus menerus mengucapkan terima kasih sehingga dia turun dari kereta api itu.
Sewajarnya pemuda itu duduk dahulu di tempat yang masih kosong atau mengejutkan wanita tua itu dengan cara yang sopan dan menghormati orang yang lebih tua. Terkilan rasa hati apabila tiada sesiapa cuba menghalang pemuda tersebut atau menasihatinya dan membantu wanita tua itu. Bahasa yang digunakan amat kasar dan tidak sesuai untuk menegur orang yang lebih tua. Bukankah bahasa yang baik dan sopan akan menjalinkan sebuah ikatan dan perhubungan yang mesra. Diharapkan pengalaman ini menjadi iktibar kepada semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan