Terasa sangat penat tetapi cukup bahagia apabila mak,ayah dan kakak datang ke Tanjung Malim semata-mata ingin melawatku padahal minggu depan cuti pertengahan semester akan bermula. Kami menjamu selera di Pizza Hut. Sementara menunggu hidangan, kami berbual mesra dan bertukar-tukar cerita. Namun mata saya tidak lepas memandang sekeliling restoran tersebut.
Saya begitu tertarik apabila melihat tiga kaum terbesar di Malaysia makan di situ, ada Melayu, Cina dan India. Semuanya sedang berbual sambil menikmati hidangan tengah hari di situ. Apabila saya amati bahasa yang mereka gunakan untuk berbual, saya agak terkejut kerana orang Cina dan India berbual-bual menggunakan bahasa Melayu. Walaupun berlaku juga percampuran bahasa yang digunakan namun saya bangga apabila bahasa Melayu menjadi bahasa mereka berkomunikasi.
Keluarga cina yang makan di hadapan saya begitu asyid berbual. Sepasang suami isteri dan 2 orang anak yang masih kecil. Mereka menegur anak mereka menggunakan bahasa Melayu seperti " Jangan nakal, duduk, makan, jangan lari-lari. Walaupun mempunyai pengaruh bahasa Cina tetapi baik bagi saya untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan anak-anak kecil. Apabila ibu bapa mengunakan bahasa Melayu, anak-anak juga turut terdidik dan terdedah dengan bahasa Melayu.
Penggunaan bahasa Melayu dalam semua masyarakat di Malaysia dapat mengukuhkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Jangan malu untuk menggunakan bahasa Melayu walaupun bukan berbangsa Melayu. Bahasa dapat menyatukan kita semua tanpa salah faham dan mementingkan diri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan